Bukit Berekeh, Sungai Siput

22 September 2018 (Sabtu)

Aktiviti hujung minggu kali ini diteruskan lagi dengan destinasi yang baru, Bukit Berekeh Sungai Siput, Perak. Meskipun bertolak seawal 3 pagi, namun semua yang terlibat kelihatan bersemangat untuk mendaki bukit setinggi 1940 kaki (454 meter) dan mempunyai 5 puncak kesemuanya. Harapan peserta ialah untuk menikmati matahari terbit di atas puncak tertinggi Bukit Berekeh.

Tiba di destinasi pada pukul 5 lebih, kami memulakan aktiviti dengan berjalan di dalam kawasan ladang kelapa sawit untuk tiba ke kaki bukit. Seperti biasa, drama akan sentiasa terjadi. Belum sampai ke kaki bukit lagi sudah ada yang mengeluh kepenatan tetapi masih tidak mengalah untuk meneruskan perjalanan.

Kesemua peserta akhirnya berjaya tiba di puncak yang pertama pada pukul 6.45 pagi. Masing-masing mengambil peluang untuk bergambar di puncak berlatarbelakangkan matahari terbit. Tidak kedengaran lagi keluhan dan rungutan kepenatan apabila melihat pemandangan pagi yang indah itu.

Perjalanan diteruskan lagi seusai solat subuh sehingga ke puncak yang terakhir. Ada yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar di setiap puncak dan berhenti setiap kali terjumpa 'spot' yang menarik dan ada yang meneruskan pendakian.


Pendakian berakhir pada pukul 8 lebih apabila semua peserta tiba di puncak yang terakhir. 

Aktiviti pada minggu itu diteruskan lagi dengan berkunjung ke Ulu Chepor, Chemor. Selesai mengisi perut untuk tengahari, kami mandi-manda untuk menikmati kesejukan air sungai di kawasan tersebut. 







Comments

Popular posts from this blog

Bukit 300, Teluk Batik